Hajime mashite

HAJIME MESHITE DOZO YORUSHIKU......... SELAMAT DATANG........ITSUMODEMO TOMODACHI DE

Jumaat, 31 Ogos 2012

SEJARAH KESULTANAN NEGERI PAHANG


SEJARAH KESULTANAN NEGERI PAHANG                                                                                                                                         Kesultanan Negeri Pahang adalah daripada keturunan Raja-Raja dan Bendahara Melaka yang merupakan keturunan daripada Sang Nila Utama dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri.
Kesultanan Negeri Pahang telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang. Sebelum itu, Pahang telah diperintahkan oleh Kerajaan Siam.
Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantik sebagai Sultan di Pahang. Pada tahun 1617, Kerajaan Acheh telah menyerang Pahang di mana Sultan Ahmad bersama anggota keluarganya telah dibawa ke Acheh. Dengan ini, berakhirlah era pemerintahan Kesultanan Pahang yang berasal daripada zuriat Sultan Melaka secara langsung.
Seterusnya, pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Namun demikian, pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang) tidak lama, di mana Baginda telah terbunuh dalam peristiwa menuntut bela oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) di atas kematian isterinya yang diriwayatkan sebagai di bawah titah Sultan Mahmud Shah. Oleh kerana Baginda tidak meninggalkan zuriat, maka pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).
Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Seorang lagi putera Baginda, Tengku Sulaiman menggantikan Baginda sebagai Sultan bagi Kerajaan Johor-Pahang-Riau, dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja, Wan Ahmad. Pada tahun 1824, pihak Belanda telah mengikat perjanjian dengan Inggeris yang mengakibatkan pemisahan pemerintahan di antara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula dengan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.
Sultan I
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah ialah anakanda kepada Bendahara Ali dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che Lingga. Bendahara Ali adalah pemerintah Negeri Pahang bagi tahun 1806 hingga 1857 .
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada 23 Mei 1836 bersamaan 5 Muharram 1252 H, di istana ayahandanya di Pulau Maulana, Pekan. Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah merupakan putera yang kelima dari sebelas saudara. Baginda telah diisytiharkan menjadi Sultan pada 16 Ogos 1882. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mangkat pada 9 Mei 1914, setelah memerintah selama lebih kurang lima puluh tahun penuh daulat di atas takhta singgahsana kerajaan Negeri Pahang. Baginda mangkat dengan meninggalkan beberapa orang isteri, putera dan puteri, dan telah dimakamkan di Makam Diraja di Kampung Marhum, Kuala Pahang pada 11 Mei 1914.
Sultan II
Perkongsian hidup di antara Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah dengan Che Pah, seorang daripada isteri Baginda telah dikurniakan seorang putera yang bernama Tengku Mahmud pada hari Jumaat 4 Februari 1868 bersamaan 10 Syawal 1254H. Tengku Mahmud diberi layanan dan asuhan yang sempurna daripada pengasuh khas.
Walaupun Baginda mendapat pelajaran secara tidak formal tetapi tanda-tanda kepandaian, kecerdikan dan kebijaksanaan Baginda memang terserlah. Tengku Mahmud bijak berkira bicara dan berunding. Pegawai- pegawai British yang datang ke Pahang pada masa itu sangat tertarik hati dan memuji kebijaksanaan Tengku Mahmud. Pergaulan yang baik dengan pegawai-pegawai British memberi peluang kepada Tengku Mahmud belajar menulis dan membaca serta cara- cara berfikir sebagai seorang yang bakal menggantikan ayahandanya.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mengangkat puteranya Tengku Mahmud menjadi Pemangku Raja pada 22 Julai 1889 bagi membantu Baginda di dalam urusan pemerintahan negeri. Kemudiannya, menurut persetujuan Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang disahkan di dalam Mesyuarat Negeri pada 11 Oktober 1891, Tengku Mahmud diberi gelaran Tengku Besar Pahang iaitu gelaran kepada seorang bakal Sultan.
Baginda telah berkahwin dengan Tengku Mariam iaitu puteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Johor) pada Julai 1913 tetapi tidak meninggalkan zuriat.
Baginda menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Yang Memerintah pada 9 Mei 1914 dan Tengku Mariam pula dilantik sebagai Tengku Puan Besar. Pemerintahan Baginda sebagai Sultan tidak lama, apabila Baginda mangkat pada 19 Jun 1917 di Rumah Rehat Kuala Pahang.

Sultan III
Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada malam Khamis, 25 Syawal 1296 bersamaan 12 Oktober 1874, di istana ayahandanya dan bondanya Cik Su'ma di Pekan Lama. Baginda merupakan putera yang kelima Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali.
Baginda telah dilantik menaiki takhta kerajaan Negeri Pahang setelah kemangkatan kekanda Baginda iaitu Sultan Mahmud. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada bulan Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.
Baginda juga amat meminati seni dan budaya di mana semasa pemerintahan Baginda, kegiatan seni dan budaya seperti joget dan gamelan sangat giat diadakan. Kegiatan sukan dan permainan tradisional Melayu juga sering diadakan seperti lumba perahu, menuba, memburu dan silat.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Kuning pada 22 Jun 1932 di hadapan sekalian putera- puteri, saudara- mara dan Orang- Orang Besar Negeri. Al-Marhum Baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sebelum Al-Marhum Baginda dimakamkan, Yang Dipertua Adat Istiadat Negeri Pahang telah mengisytiharkan perlantikan putera Baginda, Tengku Abu Bakar iaitu Tengku Mahkota Pahang dilantik sebagai Sultan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat dengan meninggalkan tiga orang isteri iaitu Che Endut, Che Kalsum bt Abdullah dan Che Wan Chantik bt Wan Mohd Amin dengan sepuluh orang putera dan tujuh orang puteri.
Sultan IV
Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi'ul Awal Tahun 1322 Hijrah. Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah.
Baginda telah diasuh, dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Hajjah Aishah sehingga dewasa. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan. Selepas itu, Baginda menyambung pendidikannya di dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar(MCKK) di Negeri Perak.
Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.
Semasa remajanya, Baginda mempunyai kegemaran dan minat dalam seni budaya seperti Gamelan, Zapin, Inang, Canggong, Cinta Sayang hinggalah tarian- tarian moden yang lain. Pada tahun 1972, Baginda telah membawa balik Gamelan ke Negeri Pahang yang telah dibeli dari Tengku Mariam, ibu saudara Baginda dari Terengganu. Selain itu, Baginda juga begitu aktif dalam lapangan sukan seperti permainan Polo, Tenis, Lumba Kuda, Lumba Perahu, dan sebagainya.

Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah, di Kuala Kangsar, Perak. Perkahwinan Baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat Diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong binti Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah.
Pada 4 Jun 1930, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah berkenan melantik Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.

Baginda merupakan putera Raja yang pertama dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang.
Berikutan kemangkatan ayahanda Baginda, Baginda menaiki takhta Kerajaan negeri Pahang pada 24 Jun 1932. Baginda kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usia Baginda baru mencecah 28 tahun dan Baginda merupakan Sultan Pemerintah yang paling muda di dalam sejarah Raja-Raja Tanah Melayu pada ketika itu.
Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan Negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.
Semasa penjajahan Jepun dalam tahun 1941 hingga tahun 1945, Al-Marhum telah bersetuju dengan secara sulit supaya orang-orang Melayu dalam negeri ini menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama 'Pasukan 136' yang ketika itu diketuai oleh Yoep Mahidin, Tun Haji Abdul Razak Hussain, Tan Sri Ghazalie Shafie dan Abdul Rahman Ismail. Peranan yang dimainkan oleh Baginda dalam menghadapi jajahan Tentera Jepun di Pahang telah membuktikan kewibawaan Baginda sebagai Raja yang berdaulat.
Peristiwa di mana Baginda ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik (17 Ogos 1945 - 9 September 1945) menjadi natijah kecekapan, kecekalan, kesabaran dan kewibawaan Baginda dalam mengatasi saat-saat yang sangat kritikal. Kejadian tersebut telah menggemparkan masyarakat Pahang pada ketika itu.
Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan Baginda sejurus selepas Kemerdekaan Tanah Melayu. Semasa pemerintahan Baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, Baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.
Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat. Baginda mangkat pada 5 Mei 1974 di Istana Kecil, Pekan setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan